Saturday, January 22, 2011

Bila Tradisi Dikejutkan

Tradisi biasanya rujukan amalan yang diturun dari satu generasi ke satu generasi. Mungkin sampai berbelas-belas generasi. Generasi tidak semestinya lahir daripada seibu sebapa, mungkin daripada pelbagai ibu dan pelbagai bapa. Tepatnya dikatakan orang yang mewarisi sesuatu organisasi. Sekolah ada watak biasanya mempunyai amalan tersendiri dalam mengekalkan watak mereka, watak yang dihiasi secara luaran tidak kekal lama, biasanya watak yang dibina secara dalaman akan bertahan lebih lama. Nilai satu amalan secara dalaman sekolah, biasanya nilai pelbagai diamalankan, ada yang baik tak kurang juga yang negatifnya. Ambil nilai kerjasama, jelaskah pegangan kita. Mungkin dalam sesetengah perkara nampak nilai ini jelas tetapi dalam sesetengah perkara seolah-olah mementingkan diri. Macam mana nilai pergorbanan, jelaskah. Waktu mana paling sesuai melihat nilai ini, waktu senang atau waktu susah. Nilai ini juga boleh menentukan sahabat atau kawan sahaja. Konsep autokratik jelas menunjukkan nilai mementingkan status quo orang atasan, yang di atas akan mendapat peluang yang lebih baik berbanding di bawah. Tetapi sekurang-kurangnya dia jelas dengan nilai yang dipegangnya. Namun, lama kelamaan akan menjadi buah butir kata mengata orang di sekeliling. Bila tidak lagi dipuncak kuasa, kata-kata tadi mula terdengar seperti jeritan meluahkan kata-kata yang disembunyikan dulunya. Betul juga kata Abraham Maslow, manusia bila rasa kurang selamat akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan dirinya. Murid yang tahu gurunya akan merotan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah, akan menyiapkan kerja berkenaan bagi menyelamatkan dirinya. Konsep biasa yang dipakai dalam pendidikan sama ada sedar atau tidak. Di sini ada nilai, nilai keselamatan diri. Jika dulu mengkritik orang berkuasa yang autokratik akan ada musibah diri. Dalam Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang banyak menggunakan kiasan untuk mengkritik Sultan Mahmud. Diceritakan Puteri Gunung Ledang, walhal sesetengah orang berpendapatan tidak wujud badan tubuh manusia yang dipanggil Puteri Gunung Ledang. Paling berkaitan syarat peminangan, satu jambatan emas-perak merentangi antara Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh tempayan air mata dan pinang muda. Paling utama semangkuk darah Raja Melaka dan darah Raja Muda Melaka. Semuanya sanggup ditunaikan oleh Sultan Mahmud tetapi soal darah baginda dan anakanda agak keberatan untuk ditunai walhal  dua mangkuk sahaja untuk kebahagian baginda Jika dibandingkan dengan keringat nyawa hamba rakyat membina jambatan, bengkak mata untuk air mata, bengkak jari jemari kerana mengorek hati nyamuk. Apa makna semua ini? Itulah konsep nilai yang perlu kita fikirkan. Adakah hanya pengikut perlu mempunyai pegangan nilai sedangkan golongan atasan hanya pemberi nilai? NILAI YANG JELAS AKAN MEMBINA DERAPAN LANGKAH YANG KEMAS DAN INDAH BUNYINYA SERTA BERSEMANGAT MENCAPAI VISI BERSAMA.

MAT ZAINI ABDULLAH

Sunday, January 16, 2011

Bila yang dekat dipanggil

Bila mendengar Syeikh Fadh Al-Kanderi mengalunkan surah al-fatihah, rasa seolah-olah gugur hati. Betapa kuasa allah memberi anugerah kepada syeikh berkenaan. Indah dan merdu, amat menyentuh hati hingga berair mata walaupun tidak menangis. Hari ini mendapat berita yang menyedihkan apabila Cik Rasyidah, Ketua Pemeriksa telah dipanggil illahi kerana barah. Waktu mesyuarat di Kuala Lumpur, kawan-kawan menziarah beliau tapi aku tidak berdetik untuk bersama hadir kerana mungkin ikatan antara kami agak jauh. Aku masuk keluarga ini pada tahun 2004, sedangkan semua yang pergi telah berada dalam keluarga ini semenjak 1993. Satu jarak yang cukup jauh. Mula rasa biasa, lama-kelamaan mula merasai kehilangan allahyarhamah, ketangkasan beliau dalam berhujah, kepintaran mencari penyelesaian untuk isu, pegangan beliau yang mementingkan kerja demi agama, bangsa dan negara. Pesanan beliau, "andai kata anak kita yang diperiksa kertasnya dan kita melakukan secara senang-senang, apa rasanya?". Itulah kata-kata yang menjadi pegangan hingga kini. SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT KE ATAS ROH ALLAHYARHAMAH. Jasamu akanku kenang sehingga akhir hayat-AL-FATIHAH...

MAT ZAINI BIN ABDULLAH

Friday, January 14, 2011

Manusia sempurna

Bagaimana kiranya bila disebut gila kesempurnaan. Sempurna banyak indikatornya, SKPM satu penentu kesempurnaan, bila semua yang dikehendaki dilaksanakan maka sekolah dianggap mempunyai standard kualiti. Persoalannya berapa lama boleh dikekalkan? Berlakukah gerakan motivasi secara berterusan dan berpanjangan dalam membina kesempurnaan tadi? Atau tahun ini kita raih tahun hadapan kita mula mengendur. Mencari kesempurnaan dunia ini sebenarnya satu kegilaan. Pernah juga dulu mengejar kesempurnaan, segalanya perlu segera dan tepat, perlu menepati masa serta perlu mengekalkan kualiti hasil kerja. Sekarang mula rasa letih kerana kesempurnaan gagal dicapai, puncanya antara kita manusia jarang mempunyai persamaan yang jitu. Kembar seiras yang mempunyai rupa yang sama tapi tidak mempunyai persamaan tingkah laku. Kejarlah kesempurnaan yang indikatornya tetap dan tidak akan berubah-ubah sehingga dunia menutup mata. Mengejar kesempurnaan dunia kadang kala letih, sakit hati, patah jiwa, kemurungan, rasa marah, rasa kurang dihargai, rasa dipergunakan, rasa segala-gala kerana jiwa antara kita amat berbeza. Kejarlah keutamaan bukan kesempurnaan jika matlamat kita hanya cetek untuk dunia tetapi jika jangkauan kita jauh ke sana, kejarlah kesempurnaan yang berlandaskan wahyu-Nya kerana itu selalu memberi ketenangan yang hakiki untuk diri. Tingkah laku manusia kompleks, dua perkara masih menjadi bahan kajian, iaitu tingkah laku dan roh manusia. Tingkah laku sudah terlalu banyak teori dibuat tetapi roh masih dalam kajian golongan manusia yang cuba melangkaui kuasa-Nya. Kesempurnaan dunia hanya ada pada takrifan diri yang merasakan sempurna sedangkan pada orang lain, ia tidaklah sempurna mana. Keutamaan itu suatu yang penting kerana keutamaan mampu memberi kegembiraan, kurang menekan, kurang mengkritik tetapi menghargai.

Mat Zaini Abdullah

Wednesday, January 12, 2011

Bila sesuainya membuat keputusan

Kata orang tua, keputusan jangan dibuat semasa marah kerana waktu itu pertimbangan akal langsung tiada. Katanya lagi keputusan yang baik semasa kita dalam keadaan tenang kerana bisa membuat akal lebih pantas berfikir. Apa sebenarnya yang kita mahu daripada sesuatu keputusan? Kesenangan diri atau cuba untuk menyelesai masalah atau cuba menjadikan diri popular kerana dikatakan cepat bertindak. Baikkah keputusan yang dibuat kerana desakan? Selalunya kita berkeputusan untuk menyelesaikan masalah tetapi lupa kita terhadap kesan masalah itu. Lupa kita bagaimana meminimumkan kesan negatif daripada keputusan itu. Kata lagi, buatlah dulu jika timbul masalah kita selesaikan. Kata-kata yang kerap didengar tapi bila timbul masalah kita yang membuat keputusan juga yang perlu menyelesaikan. Ada baik juga sekali sekala kita tangguh keputusan kerana kadang kala masa mampu memberi penyelesaian kepada masalah. Dalam amalannya, keputusan perlu cepat bila melibatkan soal-soal nyawa dan keselamatan. Adakalanya kita perlu lihat masalah pada sudut 45, adakala 90, adakala 180 dan paling baik katanya 360. Setiap keputusan pastinya ada kesan. Ada keputusan bertujuan menyelesaikan masalah tapi hasilnya ada menyebabkan berlaku masalah lebih besar. Selalunya akan timbul dalam diri mengapakah aku berkeputusan demikian? Mengapa aku tidak memilih itu dan ini. Keputusan yang baik selalu berpanduan, ada garis yang menjadi pegangan dan rujukan supaya kesan negatif dapat diminimumkan. Mana lebih baik, menghukum orang yang tidak bersalah atau melepaskan orang yang bersalah dari hukuman? Keputusan lebih mudah jika semua orang yang terlibat dalam perbicaraan mengetahui si anu itu bersalah. Hikmah Islam menetap syarat saksi bagi tuduhan zina secara sekali fikir agak ketat tetapi untuk membuat keputusan kes yang sebegini besar memerlukan kejituan bukti, kesahihan yang jelas, perlu melihat perbuatan itu secara nyata bukan hanya semata-mata untuk berkata. Ini soal maruah orang dituduh.

Bagaimana keputusan di sekolah? Bila masanya perlu keputusan segera, bila masanya perlu bijak menangguh keputusan, bila masanya tidak perlu membuat keputusan kerana proses masa mampu menyelesaikan sesuatu masalah. Takutkah kita untuk menangguh keputusan, perlukah bila didesak terus berkeputusan? Keputusan ada seninya, seninya ialah roh daripada keputusan itu. Orang yang mendesak selalunya bila menerima keputusan yang menyebelahinya selalunya mereka tidak berfikir kesan dari keputusan itu. Kadang kala mereka hanya merasai kemenangan kerana yang berkeputusan menerima desakannya, bila tiba satu keadaan dia mendesak lagi supaya dibuat keputusan dan akhirnya berkeputusan sendiri kerana tidak perlu lagi mendesak sebab setiap desakannya sentiasa diterima. Akhirnya, dia gila membuat keputusan. FIKIRLAH DULU JANGAN HANYA TAHU MENDESAK.

Mat Zaini Abdullah

Wednesday, January 5, 2011

Bila Kata Melebihi Rasa

Antara kata dan rasa, semuanya datang dari dalam diri. Bila terlepas kata baru terbit rasa. Rasa dahulu baru terbit kata, itu yang dikatakan berilmu. Orang selalu menggunakan "saya rasa..." dan jarang menggunakan "saya kata...". "Saya rasa..." bunyinya agak lembut, lambang keterbukaan, lambang keinginan berkongsi, lambang pandangan sendiri tanpa menafikan pandangan orang lain. Ada ruang untuk orang lain mencelah. Kata "saya rasa..." lambang gabungan deria yang luas dalam melihat sesuatu. "Saya kata..." lambang kuasa, lambang autokratik, autonomi, arahan, ketegasan bersekali keegoan. Ruang untuk yang lain tidak terbuka. Tapi ia juga lambang pengakuan, keberanian dan kesanggupan menerima apa saja daripada jawapan "saya kata...". Selalunya akan disediakan dengan penjelasan tentang sesuatu tindakan. "Saya rasa..." lambang butiran percakapan terhasil daripada pengetahuan dan pengalaman. "Saya kata..." lambang percakapan daripada nada yang biasanya meninggi bersama kawalan minda yang rendah dan mungkin menghasilkan tindakan secara sentuhan kasar. Apa yang berlaku bila kata melebihi rasa? Kata biasanya dizahirkan melalui percakapan, rasa biasanya terpendam dalam diri dan menjadi monolog dalaman. Rasa boleh wujud melalui dialog fikir, rasa boleh wujud melalui deria manusia yang pelbagai indera. Kata hanya keluar melalui indera mulut dan kata akan bahaya bila terus keluar hasil nafsu marah yang membuak-buak. Kata lambang diri, rasa tersembunyi dahulu kerana memikirkan kesan apabila rasa terkeluar melalui kata. Kehadiran roh agama dalam diri melalui rasa, rasa ini hanya difahami oleh diri yang punya rasa. Kata merupakan pembelajaran melalui rasa. Soal bagaimana kita mendidik rasa? Orang yang inderanya buta belajar melalui rasa dan diluah melalui kata. Bila kata melebihi rasa itu permulaan kebencian, bila rasa melebihi kata itulah bermulanya kasih sayang sesama insan. Jadi banyakkan rasa sebelum berkata.

Sunday, January 2, 2011

Bilanya dikatakan jujur dan bilanya dikatakan berterus terang?

Kedua-duanya datang dan lahir dari dalam. Jujur dalam kata-kata dan jujur dalam tingkah laku. Terus terang lambang kekuatan dari dalam. Ada kaitnya dengan jujur. Tapi kadang kala jujur bukan memberi maksud mampu berterus terang. Berterus terang biasanya melambangkan jujur. Mana datangnya dua sifat ini jika bukan dari didikan agama, ditambah dengan keperluan budaya terhadap jujur itu.

Sukar dicari manusia jujur ini, hatta manusia yang paling hampir dengan kita, pasangan kita. Ada perkara yang diberitahu dan ada perkara yang tidak boleh diberitahu. Kita hanya tahu apa terjadi musibah besar. Waktu itu, barulah diceritakan secara terus terang. Kadang kala kita yang perlu kembali kepada asal untuk mencari jalan penyelesaian. Berapa banyak masa terpaksa diuntukkan bagi menyelesaikan perkara yang tidak diterus terang? Sekarang ini perlu ada kejujuran untuk berterus terang. Tidak perlu dengan nada yang tinggi untuk berterus terang. Kata-kata lembut dan bersopan mampu juga menyampaikan perkara yang mahu diterus terang. Malah lebih berhikmah berbanding dengan cara keinginan memperlihatkan sikap. Ini antara manusia yang berilmu perlu ada kebijaksanaan apabila berterus terang.

Soalnya, bagaimana dengan manusia yang kurang pertimbangan ilmunya, suka kepada kekerasan dan bangga dengan perlakuan menentang norma masyarakat? Berkesankah berterus terang secara bersopan tadi?Nabi S.a.w bila berhijrah ke Madinah mula menggunakan kaedah perang untuk berterus terang kepada musyrikin Mekah bahawa baginda serius dalam menegakkan agama Allah. Perang hanya bahantara tetapi santunan baginda tetap tinggi apabila menawan Mekah. Masih berterus terang dengan kesopanan baginda. Kita mula merasai kepedihan apabila mengetahui tiada kejujuran untuk berterus terang, menyimpan rahsia untuk menyembunyikan perlakuan yang tidak disukai. Soalnya, kita jujurkah dengan diri kita?Kesimpulannya, belajarlah jujur dengan diri dan berterus teranglah dengan diri. SEGALA-GALANYA DALAM DIRI KITA

Mat Zaini Abdullah

Saturday, January 1, 2011

Soalnya bagaimana keputusan yang baik?

Bila keputusan dibuat, perkara biasa yang menjadi persoalan bagaimana setiap ahli organisasi melihat keputusan tersebut? Perbincangannya sebenarnya lebih kepada kesan daripada keputusan. Ahli organisasi yang hanya melihat dirinya akan memberi pandangan berkisar kepada diri mereka, untung dan rugi kepada mereka berkaitan keputusan tadi. Subordinat yang sayang kepada organisasi melihat pula kesan baik-buruk kepada organisasi. Subordinat yang mementing unsur produk melihat pula baik-buruk kepada penghasilan produk. Soal kualitinya atau masih berkisar kepada soal kuantitinya. Sementara pengurusan yang mementing status quo akan melihat akibat daripada keputusan tersebut terhadap kedudukannya. Bertambah selesa atau semakin bertambah beban. Murid sekolah mungkin tidak memahami atau langsung tidak mengambil tahu kesan daripada sesuatu keputusan. Selalunya kesan keputusan dilihat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki subordinat.

Soalnya bagaimana menghasilkan keputusan yang baik? Keputusan yang baik sebenarnya jarang ada, yang ada hanyalah bagaimana kita meminimumkan rasa tidak puas hati daripada sesuatu keputusan. Dalam sejarah manusia tidak pernah terdapat keputusan yang diterima secara tulus. Kalaupun senyap semasa dibuat, di luar tempat keputusan dibuat akan kedengaran bunyi kesan keputusan. Sesetengah pengurus membuat keputusan berdasarkan manfaat yang akan diperolehi oleh golongan majoriti dalam sesuatu organisasi. Kalau di sekolah sudah tentulah murid. Soalnya, kalau sesuatu keputusan dibuat di sekolah, rasa tidak puas hati terlalu maksimum, bagaimana majoriti murid akan memperolehi manfaatnya? Inilah yang dikatakan sebagai kesan rantaian (chain effect). Guru sebagai kumpulan rantaian perlu diminimunkan dahulu rasa tidak puas hati. Selalunya keputusan yang bersilang antara subordinat dan pengurusan akan menghasilkan rasa puas hati yang maksimum. Guru sebagai kumpulan yang berjalan secara mencerun ke bawah dari kiri ke kanan sementara pengurusan berjalan secara mencerun ke atas dari kiri ke kanan. Soalnya di mana titik silangnya, isu yang bagaimana mampu memberi titik temu antara guru-pengurusan. Adakah isu kecemerlangan akademik, isu kecemerlangan displin atau isu kecemerlangan kokurikulum? Atau isu-isu berkaitan soal kebajikan murid atau yang paling tepat visi sekolah. Berapa ramai yang memahami visi dan terdapatkah perjelasan tentang visi dari pengurusan. SOALNYA BAGAIMANA?

MAT ZAINI ABDULLAH 2011