Monday, August 15, 2011

Meraih Kekuatan Diri

16 Julai 2011, memo rasmi bertukar ke SMK Baling dari SMK Parit Panjang. Malamnya, kawan menghantar sms, katanya, senyap-senyap aje bertukar. Lantas menjawab smsnya dengan kata, itulah penamatnya, jiwa mulai tenteram, otak mula lapang. Bila dirujuk kembali balasan sms itu, baru tersedar rupanya selama ini kerja seharusnya mampu mententeramkan jiwa dan melapangkan minda. Soalnya macam mana boleh tenteram jika hari-hari berhadapan dengan pelbagai karenah manusia yang kadang kala gagal memenuhi standard yang ditetapkan. Timbul pula pertanyaan, apa standard yang ditetapkan. Bila berfikir kembali, baru tersedar standardnya tidaklah ketat sangat "jujur dalam perbuatan" dan "benar dalam perkataan". Hati mula bertanya, masih wujudkah manusia ini? Selama 15 tahun bekerja selalunya tidak ketemui manusia yang memiliki dua nilai ini. Selalunya nilai manusia akan berubah dengan keadaan diri dan keperluan diri. Semua yang diketemui menghadapi masalah menentukan sikap dalam menentukan nilai.

Dari sini mulai mengenal diri, prinsip dipegang dan sikap yang telah ditentukan. Rupanya aku kategori manusia yang pentingkan kerja secara berkesan atau kompentensi bukan semata-mata pengalaman lama yang diraih semasa meniti bibit masa pekerjaan itu. Mementingkan manusia yang tahu apa yang dikerjakan secara komteporari bukan hanya sentiasa mencungkil kisah silam yang nyata berbeza masa dan ketika. Mementingkan yang diam pengalaman tetapi melakukan adaptasi terhadap pengalaman untuk membina pengalaman yang baru kepada generasi baru yang dihadapi. 

Selalunya manusia akan menganggap sesuatu baik bila menepati kehendaknya. Jarang manusia akan berkata yang tegas dengan kerja, yang benar dengan kerja, yang sentiasa mahukan kerja bila berada di tempat kerja sebagai yang baik. Satu kepelikan manusia, masih boleh beramah mesra dengan manusia yang dikutuk sebagai teruk di belakang. Mungkin tradisi kita manusia sebagai pelakon menyebabkan kita mampu berdrama sehingga akhir. Tentukanlah sikap kita walaupun kadang kala terpaksa menongkah arus dan mendatangkan mara bahaya yang besar, pentingnya kita jujur. Tanggapan manusia hanya persepsi, bila tiba waktunya persepsi tersebut akan berubah. Dahulunya dianggap sebagai penentang tetapi apabila apa yang pernah kita rasa mula dirasai oleh mereka, maka waktu itulah persepsi mereka mula berubah. Diri manusia banyak bertindak berdasarkan keuntungan dirinya. Unsur pemikiran ini telah lama terserap dalam hidup manusia melalui pendidikan yang diterima kerana generasi sekarang banyak yang terdidik melalui sistem idea logik akal manusia bukan berasaskan sistem maha pencipta yang berlandaskan fitrah. Jadilah dirimu dan kekallah dirimu selama mana ia tidak bertentang dengan fitrah manusia berasaskan mahakarya hidup dan contoh hidup kekasihnya.




Friday, August 5, 2011

Pesan Iman Shafie Tentang Persahabatan

Hayatilah nasihat Imam Shafie ini dan jadilah ia sebagai panduan dalam kehidupan seharian..

PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen. Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.

Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri. Mencari sahabat pada waktu susah. Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan. Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.

Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Sukarnya mencari sahabat sejati. Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit. Sahabat sejati pada waktu susah. Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia. Rosaknya keperibadian seseorang.

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu. Menghormati orang lain.

Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. Menghadapi musuh.

Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.

Tipu daya manusia. Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk.

Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri. Tempat menggantungkan harapan. Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati.

Menjaga nama baik. Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirahat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Wednesday, August 3, 2011

Menentukan Sikap

Suatu yang menarik dalam usia semuda 20 tahun saya telah menentukan sikap terhadap sesuatu perkara. Sikap sama ada menerima atau menolak amat jelas. Penentuan sikap menjadi lebih cantik sekiranya berasaskan ketetapan maha pencipta dan sunnah pesuruh-Nya. Kisar hidup kita manusia hanya berlegar pada soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Itulah prinsip dalam menentukan sikap. Dalam kelapangan biasa soal wajib, sunat, harus, makruh dan haram tidak pernah berubah. Sikap jauh kita daripada perkara ini menyebabkan kita kadang kala gagal menentukan sikap, ditambah pula dengan kecelaruan pelbagai idealisme manusia seperti pluralisme, liberalisme, sekularisme, sosialisme, komunisme dan banyak lagi isme yang terhasil daripada logik akal manusia. Sedar atau tidak kadang kala keputusan kita berasaskan idealisme ini jika dihalusi dengan baik. Hakikat bila dikaji semua boleh dikatakan datang asalnya daripada yahudi. Karl Marx pengasas komunisme asalnya keturunannya yahudi yang terseksa, lahirnya idealisme marx kerana penyeksaan tersebut jadi manusia perlu hidup tanpa kelas-kelas dalam masyarakat menyamai ideal sosialisme. Pratik ekonominya, sistem komunis berkerajaan yang menjaga kebajikan rakyat, rakyat tiada kuasa menentukan pilihan, menentukan harga barang, tiada kuasa membuat keputusan ekonomi dan sistem ekonominya secara sempurna berjalan tanpa wujud persaingan kerana semua kegiatan ekonomi ditentukan oleh kerajaan.

Sistem kapitalis atau pemodal atau sekular, operasi ekonominya berasaskan permintaan dan penawaran yang mewakili pengguna dan pengeluar. Harga barang ditentukan melalui proses mekanisme pasaran, iaitu interaksi antara pengguna dan pengeluar tadi. Keputusan ekonomi bebas dibuat oleh isi rumah dan firma. Secara sempurnanya walaupun wujud kerajaan dalam ekonomi tetapi hanya bertindak sebagai pemerhati tidak sebagai "check and balance". Sistem ekonomi berorientasikan keuntungan semaksimum mungkin. Persaingan wujud secara hebat sama ada secara bermoral atau tidak. Unsur riba berlaku secara meluas kerana motif ekonomi yang berlandaskan keuntungan semaksimum mungkin tadi.

Idealisme sekular dan liberal banyak mempengaruhi sikap kita. Ambil saja contoh apabila berhadapan dengan isu guru berasmara dengan muridnya di sekolah. Sikap kita pelbagai, ada berpendapat perlu ditangani dengan menyembunyikan kebenaran dan biar peristiwa berlalu melalui masa. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora dan manusia mana yang tidak melakukan dosa. Kesalahan pertama kali walaupun besar tidak perlu dihukum. Sesetengah berpendapat perlu dihukum kerana nafsu melebihi kewarasan akal seorang guru. Perlu dihukum kerana terdapat unsur-unsur ke arah mengalakkan perlakuan hina dengan memberi ruang kepada perlakuan tersebut. Pendapat lain pula mengatakan biarlah diri dia, lagipun berlaku dalam keadaan suka sama suka. Itu hak peribadinya. Yang menjadi soal di sini sikap kita, kita hanya perlu satu sikap tidak boleh banyak sikap kerana banyak sikap memberi lambang diri tidak berpendirian. Manusia yang tiada pendirian sebenar sukar dalam memimpin kerana dia terlalu melihat dari banyak sudut pada masalah yang jelas dan terang. Melihat semua mempunyai kebenaran kerana pengaruh idealisme yang terlalu pelbagai. Ambil saja kisah Aisyah difitnah berhubung sulit dengan salah seorang sahabat, baginda nabi mengambil pendekatan diam dan fikir. Bila sampai kemuncaknya baginda mengambil keputusan untuk memisahkan Aisyah dari diri baginda kerana perbuatan tersebut memberi kesan kepada syiar Islam. Penting di sini ialah syiar islam bukan lagi hubungan, walaupun baginda menyayangi Aisyah ada yang lebih penting berbanding perasaan. Analoginya jika berpandukan kes asmara tadi yang penting bukan lagi guru dan murid berkenaan tetapi institusi sekolah dan guru-guru lain yang perlu dijaga daripada kesan kes berkenaan. Sekolah sebagai institusi yang menyebarkan nilai-nilai murni masyarakat, perbuatan yang menyalahi nilai-nilai murni masyarakat di sekolah perlu penentuan sikap yang jelas. Selalunya kita cuba menjaga kumpulan minoriti berbanding majoriti konsep ini telah menyamai idealisme sekular, mementingkan golongan pemodal berbanding golongan yang menjadi pengguna. Akhirnya, kesan banyak diterima oleh golongan pengguna tadi. Sekolah yang menerima dan mengalakkan budaya ke arah perlakuan seks secara bebas. Akhirnya, timbul unsur kebanggaan iblis dalam diri si pelaku.

Mat Zaini Abdullah