Wednesday, October 19, 2011

Dulu Sekarang, Bezanya Di Mana?

1979, mula memasuki sekolah rendah. Bendanya, belajar, bersukan dan aktiviti pembinaan sahsiah. Kemuncaknya, penilaian darjah lima, elok keputusannya maka murid akan berpeluang ke mana-mana institusi sekolah yang ternama seperti Maktab Rendah Sains Mara dalam tingkatan satu. Apabila jam 1.30 petang pulang ke rumah, jika ada latihan rumah sukan, guru akan mengumumnya. Jika ada, jam lebih kurang 3.00 petang datang kembali ke sekolah untuk mengikuti latihan rumah sukan. Jika tidak hadir, akan ada hukuman yang akan dikenakan.

1981, memasuki sekolah menengah, rutinnya lebih kurang sama dengan sekolah rendah. Kemuncaknya banyak, tingkatan 3 semua murid menduduki SRP sementara tingkatan lima SPM dan tingkatan 6 STPM. Semuanya berorientasikan peperiksaan. Di tingkatan 6, murid diberi peluang memimpin dan mengurus persatuan sendiri, iaitu, Persatuan Tingkatan Enam (PERTINA). Adalah sedikit kelainan berbanding sekolah rendah dan sewaktu menengah atas dan menengah rendah. Terasnya masih sama orientasi peperiksaan. Waktu ini masyarakat masih memandang tinggi kepada murid yang cemerlang dalam akademik malahan lebih tinggi kepada murid yang berjaya ke universiti. Sementelah pula kemudiannya bekerja dengan pekerjaan yang baik. Dulunya pendidikan telah dilihat sebagai agen mengubah nasib diri dan keluarga.

1992, memasuki universiti, terasnya juga sama, untuk segulung ijazah perlu mengambil jumlah unit tertentu dan mestilah perlu lulus peperiksaan dengan purata nilai gred kumulatif tidak boleh kurang 2. Bezanya, di universiti siswa diberi peluang untuk membina perkembangan diri secara lebih berdikari sama ada dalam bidang sukan, kepimpinan dan segala berdasarkan inisiatif diri siswa. Akhirnya, peperiksaan juga menjadi penentu, cuma untuk anugerah tertentu mengambil kira perkembangan diri siswa, keterlibatannya dalam sukan, kepimpinan dan segala yang menjadi punca pembinaan siswa yang versatiles, yang serba boleh dan hendaknya serba tahu. Waktu di universiti, ICT mula menjadi medium utama dalam menyampaikan bahan pembelajaran. 

1997, mula kembali ke sekolah sebagai guru, terasnya masih sama, masih berorientasikan kecemerlangan peperiksaan. Bezanya, beberapa mata pelajaran baru diperkenalkan seperti ekonomi asas, perdagangan, ICT, dan banyak lagi. Ruang peluang belajar kepada murid makin melebar. Capaian ICT mula meluas. Wujud sekolah seni, sekolah vokasional, sekolah sukan, sekolah agama, SBP, terbaru kolej vokasional. Dasar 60:40 diperhebatkan. 60% sains dan 40% sastera. Bagaimanapun perubahannya, terasnya masih tak berubah masih berorientasikan peperiksaan. Malahan, penilaian murid mula di akar umbi melalui pentaksiran berasaskan sekolah. Reka bentuk kerja guru juga berubah, bukan sekadar mengajar di bilik darjah, malahan lebih melebar. Kegilaan kepada kecemerlangan peperiksaan menyebabkan guru-guru perlu melebihkan masa untuk menjana kecemerlangan murid. HAKIKATNYA HANYA INFRASTRUKTUR YANG BERUBAH TERAS PENDIDIKAN MASIH SAMA, HANYA KECEMERLANGAN AKADEMIK. BILA KITA AKAN MELEPASI ZAMAN-ZAMAN YANG TELAH BERLALU. 

MAT ZAINI ABDULLAH
B.A.(Hons), UKM
Diploma Pendidikan, UKM
Msc (Educational Management), UUM

Cenderung menyembunyi

Perlukah semuanya kita dedahkan? Katanya, dedah hanya untuk orang yang berhak, dedah juga memerlukan tempat yang tepat. Pada ruangan umum, perlu ditutup. 

Selama 15 tahun dalam pendidikan, satu kecenderungan pentadbir utama menyembunyikan dan cuba mengelakkan perkara sebenar daripada dituturkan. Sesetengahnya sanggup memberi laporan tidak benar tentang guru yang menghantar dan tidak menghantar buku rancangan mengajar. Selalunya, laporan dihantar akan menunjukkan semua guru menghantar buku rekod walaupun ada yang berbulan-bulan tidak menghantar. Malahan, ada sekolah mencalonkan guru yang tidak menghantar buku rekod untuk menerima anugerah perkhidmatan cemerlang. Menyembunyikan kebenaran sebenarnya punca sebenar kegagalan pendidikan kita maju melepasi zaman. Yang dipentingkan mencari siapa yang bersalah dan bukan memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah. Inilah tradisi yang kita warisi daripada generasi yang sekarang menjadi pemimpin utama baik di sekolah, PPD dan Jabatan malahan di kementerian. Jiwa generasi baru sudah mahukan kebenaran. Lakonan hanya bertahan selama mana ia ditayangkan, apabila selesai tayangan kita akan kembali kepada sifat asal kita. Akhirnya, sekolah hanya kembali kepada asal. Bila ada lawatan atasan, maka semua akan berbodong-bodong masuk ke kelas tetapi keesokannya lawatan telah tiada, budaya asal sekolah kembali seperti selalu. Sembang-sembang, mengulas isu-isu hangat.

Soal guru tidak masuk ke kelas boleh dikatakan hampir berlaku di semua sekolah, tinggal lagi sama ada sampai ke pihak atasan atau tidak. Jika pengetua pandai berlakon dan menyembunyikan kebenaran yang berlaku maka selamatlah sekolahnya. Lagi selamat jika sekolah yang memangnya terdiri daripada majoriti murid yang sememangnya kurang minat kepada akademik. Samada guru masuk atau tidak keadaannya sama sahaja. TIBALAH UNTUK KITA BERKATA BENAR DAN MENERIMA HAKIKAT KEMUDIAN MENGUBAH BERDASARKAN KEBENARAN TADI UNTUK JADI LEBIH BAIK. Satu kelemahan kebanyakan pengetua ialah gagal menerima kenyataan sebelum mengubah kenyataan tersebut menjadi kebenaran yang patut sebenar dipanggil kebenaran. Banyak berlaku pengetua menyembunyikan kebenaran dan berusaha mengubahnya kemudian tetapi bila pulangnya si pemantau kadang kala kebenaran yang disembunyikan tadi tidak juga diubahnya. ITULAH HAKIKAT PENGURUSAN SEKOLAH TERUTAMA DIKEBANYAKAN SEKOLAH LUAR BANDAR.

Mat Zaini Abdullah
B.A.(Hons) UKM
Diploma Pendidikan, UKM
Msc (Educational Management), UUM


Saturday, October 15, 2011

Hambatan Gajikah atau sara hidup?

16 Mei diumumkan beberapa insentif untuk golongan guru sebagai mengenang jasa golongan tersebut. Macam biasanya akan timbul soal tidak puas hati bagi golongan yang melihat nasib mereka tidak dibela. 20 Mei, Menteri Pelajaran memberi kaedah psiko dalam usaha menyedapkan hati golongan yang kurang berpuas hati. Isu puas hati merupakan soal yang sentiasa wujud dalam bidang pendidikan apabila berlaku sesuatu perubahan. Di sekolah, di pejabat pelajaran daerah, di jabatan malah di kementerian soal tidak puas hati sentiasa ada. Apa sebenar puncanya, adakah semata-mata datang daripada soal gaji? Atau soal sara hidup yang makin meningkat kosnya.

Dulu bila diperkenalkan Sistem Saraan Baru, timbul tidak puas hati kerana dikatakan wujud unsur pilih kasih pengetua, unsur-unsur bodeisme, kronisme, nepotisme dan pelbagai isme yang timbul daripada sistem tersebut. Kemudian diperkenalkan Sistem Saraan Malaysia, timbul soal guru yang telah tua gagal dalam peperiksaan tahap kecekapan, guru muda gajinya lebih tinggi berbanding guru tua yang telah lama berjasa dalam pendidikan negara secara logik, bukan ada bukti wujud secara empirikal. Hal ini sebenarnya berkait soal awal-lewat masuk dalam perkhidmatan. Golongan guru muda walaupun baru tetapi aspirasi dan konsep yang mereka bawa biasanya lebih dekat dengan keinginan murid-murid kerana dunia guru baru masih dekat jurang generasi berbanding guru tua yang masih menggunakan pendekatan 70-an dan 80-an tanpa mengambil kira soal perkembangan teknologi dan inovasi dalam pendidikan hanya bersandar kepada lama masa mengajar. 

Soal gaji ini senang untuk ditentukan jika kita balik kepada fitrah manusia. Soal pahala dan dosa. Logiknya, bila terlalu lama hidup dosanya lebih banyak jika hidup hanya berlandaskan dunia, maknanya yang baru kurang dosanya walaupun hidup juga berlandaskan dunia. Tapi jika yang muda hidup berlandaskan agama mungkin pahalanya lebih banyak berbanding yang tua tadi begitu juga yang tua berbanding yang muda jika cara hidup landasan agama diamalkan. Sebenarnya soal ganjaran pahala dosa tidak begitu diambil pusing kerana tiada makna dalam hidup kita yang terlalu cintakan dunia. Pahala dosa suatu yang ghaib sedangkan kesan mempunyai wang yang banyak dapat dilihat secara jelas di dunia, berumah besar, berkereta besar, berpakaian berjenama, kemampuan melancong dan banyak lagi kesan memiliki wang yang banyak. Pahala tidak boleh ditukar dengan beras, gula, gas masak, bayaran bil, sewa rumah berbanding wang. Tidak pernah timbul soal tidak puas hati dalam soal-soal pahala mahupun dosa. Tidak timbul soal guru tua mengatakan pahala aku lebih banyak berbanding engkau guru muda atau guru muda mengatakan dosa guru tua lebih banyak berbanding mereka guru muda. Jadi soal gaji banyak kurang sebenarnya telah mendekati kaedah pahala dosa. 


Pada pihak kerajaan soal kewangan menjadi punca kegagalan untuk memenuhi tuntutan golongan guru. Kenaikan gaji membawa erti peningkatan dalam belanja mengurus emolumen. Sementelah belanjawan negara kebelakangan ini sentiasa defisit yang membawa erti hasil kerajaan berkurangan sedangkan belanja sentiasa meningkat. Lompang antara hasil dengan belanja memerlukan kerajaan untuk berhutang. Memperlahankan projek-projek boleh memperlahankan aktiviti ekonomi dan boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Akhirnya aliran pusingan wang dalam negara akan menjadi perlahan kerana perbelanjaan daripada isi rumah juga perlahan disebabkan pegangan wang dalam kalangan isi rumah berkurang. Soalnya, adakah hanya projek menjana pendapatan kepada isi rumah? Setahunya, projek memberi pulangan yang agak besar atau pendapatan utama kepada golongan kontraktor, sesetengah isi rumah hanya menjadi buruh dalam soal-soal pembinaan. Soalnya adakah buruh hanya wujud dalam projek-projek besar sahaja? Adakah membina rumah untuk golongan miskin secara besar-besaran tidak memerlukan buruh? Makna apa pembinaan mega seperti Menara Petronas, Menara PNB beratus-ratus tingkat jika hanya menjana ekonomi sewaktu aktiviti pembinaan dan akhirnya apa yang dapat daripada pembinaan tersebut. Jika bentuk pembinaan ini ditukar kepada pembinaan kemudahan asas seperti jalan raya di Sabah dan Sarawak atau di kawasan-kawasan luar bandar atau pembinaan bangunan sekolah di sekolah-sekolah yang daif juga mampu menjana pendapatan kepada isi rumah, kontraktor. Ekonomi juga boleh dijanakan seperti pembinaan mega. Jadi sudah sampai masanya dana digunakan dalam konsep UTAMAKAN YANG UTAMA.

Berbalik kepada soal gaji tadi, biarlah ia berlaku secara fitrah manusia maknanya siapa yang bekerja lebih ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti pendidikan maka dialah diberi gaji yang lebih. Bukan berlandaskan jangka masa berkhidmat kerana lama perkhidmatan bukanlah bermakna terus wujud kualiti dan peningkatan dalam produktiviti. Soalnya bagaimana proses untuk memberi kenaikan gaji? Bila kata fitrah maka setiap individu guru akan menentukan adakah dia layak untuk menikmati kenaikan gaji berganda jika berlandaskan pergerakan gaji melintang atau anjakan gaji.Kaedahnya sebagaimana kita belajar, yang rajin berusaha selalunya mendapat gred yang baik berbanding yang kurang berusaha. Yang rajin biasanya akan memberi nilai tambah untuk setiap produk yang mereka hasilkan, yang malas hanya berusaha untuk memenuhi keperluan minimum penilaian. Mengajar hanyalah keperluan minimum kerana guru semua perlu mengajar. Yang dikatakan nilai tambahnya bagaimana guru memanipulasikan kandungan pengajarannya agar lebih difahami murid dengan bantuan ABM yang bersesuaian. Panel yang menilai guru bagi tujuan kenaikan gaji perlulah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak dan sukar dipertikaikan kewibawaannya. Guru juga diberi peluang untuk memilih 2 hingga 3 panel untuk memberi keesahan untuk setiap kerja yang dilakukan.

MAT ZAINI ABDULLAH











Luar kotak atau sebenarnya dalam?

Telah lama dulu disyorkan pemikiran di luar kotak, mudahnya merujuk kepada cara berfikir luar biasa daripada biasa. Kalau dulunya apabila membawa murid ke kejohanan olahraga daerah, fikiran biasanya kita sewa bas, luar kotaknya kita biarkan murid pergi secara sendirian sama ada menaiki bas atau berkenderaan sendiri. Timbul pula soal keselamatan, soal kehadiran lewat sedangkan acara akan diambil murid akan berlangsung awal, timbul juga soal kritikan waris dalam mesyuarat agung PIBG. Jadi apa yang sebenarnya berfikir di luar kotak? Mungkin maknanya satu pemikiran yang bila dilaksanakan mengurangkan isu keselamatan, punctual dan mengurangkan kritikan waris sedangkan idea tadi sebenarnya berfikir untuk mengurangkan kos kewangan sekolah apabila sistem pendidikan negara mula menjadi percuma tahun 2012. Berfikir di luar kotak sebenarnya memerlukan keberanian, istiqomah keputusan dan kefahaman kelompok yang menerima kesan daripada keputusan berkenaan. Berfikir luar kotak juga tidak boleh lari daripada menilai kembali kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman daripada keputusan tersebut. Perlu juga mengambil kira yang utama diutamakan. Cuma kita amat berharap satu mekanisme percuma dalam pendidikan negara mengambil kira pada bahagian mana boleh percuma dan pada bahagian mana perlu sedikit bayaran. Jika percuma berkonsepkan semua akan dibantu oleh pihak kerajaan, maka soal keputusan menjimatkan kos mungkin kurang perlu dibuat oleh pihak sekolah cuma pihak sekolah hanya mengawal perbelanjaan agar tidak berlaku pembaziran kepada benda yang kurang penting.
Pemikiran luar kotak pernah dihasilkan oleh seorang guru berkaitan robotik untuk mengesan pembesar suara. Pemikirannya terhasil apabila kurang puas terhadap sistem pembesar suara waktu perhimpunan sekolah. Dengan kos hampir RM25,000.00 robotik berkenaan berjaya dicipta malahan mampu menang pertandingan inovatif peringkat kebangsaan dan ke Tokyo untuk menyertai pameran ciptaan. Persoalannya ke mana robotik tersebut? Gurunya, alhamdulillah dilantik guru cemerlang DGA32. Satu produk satu kecemerlangan diri. Tindakan susulan untuk mengembangkan idea guru tadi ternyata tiada, guru tadi hanya guru sebagaimana guru-guru lain. Tiada usaha untuk menyediakan geran penyelidikan lanjutan sehingga menghasilkan satu produk yang boleh digunakan secara komersial. Begitu juga usaha-usaha untuk mendapatkan hak paten bagi guru berkenaan. Terbukti peruntukkan penyelidikan dan pembangunan bagi tujuan pendidikan amat kecil berbanding bidang-bidang lain yang tidak melibatkan guru-guru di sekolah. 


Pemikiran luar kotak memerlukan keberanian merentasi budaya Melayu, kebiasaan sekolah, amalan sekolah dan budaya sekolah serta iklim sekolah yang telah lama menjadi darah daging sesebuah sekolah. Kadang kala memerlukan jiwa yang keras antara kepentingan murid, pendidikan dan kepentingan guru. Sebenarnya pemikiran luar kotak perlu mengambil kira banyak perkara apabila melibatkan institusi pendidikan seperti sekolah yang bukan boleh diurus sebagaimana kilang berasaskan budaya korporat. Tidak semua budaya korporat boleh diterapkan ke dalam sistem urus tadbir sekolah kecuali hal-hal berkaitan urus tadbir kewangan, harta modal atau inventori atau mengurus makmal komputer. Di kilang sebagai pasaran terbuka amat mudah, jika seseorang pekerja merasakan dia tidak lagi sesuai dengan kilang berkenaan, dia boleh kemukakan notis berhenti. Tapi dalam sekolah, jarang berlaku guru akan mengemukakan notis berhenti semata-mata tidak bersetuju dengan cara seorang pengetua melainkan mengisi borang pertukaran walaupun kadangkala perlu menunggu sehingga bertahun-tahun untuk ditukarkan. Kilang boleh diurus secara autoriti tanpa gangguan secara birokrasi. Sebuah sekolah terlalu banyak, PIBG, PPD, JPN, SEKTOR JPN, KPM, LEMBAGA PEPERIKSAAN, PENAZIRAN, MPM yang ada tingkatan enam dan MASYARAKAT SEKITAR, YB-YB dan KADANGKALA MENTERI juga EXCO NEGERI. Itulah sekolah sebagai institusi sosial. 
MAT ZAINI ABDULLAH

Wednesday, October 12, 2011

Dalam banyak idea yang dijana untuk keputusan, akhirnya kita akan memilih satu sebagai keputusan. Akal manusia berupaya menjana kepelbagaian idea dalam cubaan menyelesaikan masalah. Menariknya, bila dua idea berbeza muncul akan terhasil idea ketiga, keempat, kelima dan kadang kala tidak putus penjanaannya. Mengurus manusia sebenarnya mengurus arah aliran akalnya. Pembentukan daya fikir manusia banyak dipengaruhi oleh pengetahuan, pengalaman hidup dan persekitarannya. Kadangkala apabila diri terancam arah aliran manusia akan berubah untuk mengatasi ancaman tersebut. Manusia yang merasakan dirinya tidak selamat akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan dirinya. Seorang remaja yang menaiki motorsikal tanpa lesen akan cuba mengelakkan laluan yang terdapat polis. Seorang penagih dadah akan berusaha untuk mendapatkan dadah bagi menghilangkan rasa ketagihnya. Keunikan manusia keupayaan untuk memberi pertimbangan untuk dirinya. Seorang yang berfikiran penagih dadah akan sentiasa cuba memenuhi kehendak dirinya dengan berusaha untuk mendapatkan dadah. Bagi kita manusia yang tidak berfikiran dadah akan menganggap perbuatan tersebut sebagai tidak kena. Namun keperluan dadah mengatasi segala-galanya. Daya fikirnya akan berlegar sekitar bagaimana untuk mendapatkan dadah tanpa berputusan. Latar belakang telah mencorak cara berfikir penagih. Akhirnya, dunia mereka dibentuk berdasarkan keperluan dadah. Keperluan dadah sebagai pengikat akal untuk mengerakkan motivasi dalam. 
Kehendak dan keperluan membentuk corak akal manusia. Kehendak dan keperluan umpama dadah yang ada dalam diri manusia. Kehendak dan keperluan yang tidak terkawal dalam diri manusia akan merosakan jasab serta roh manusia sebagaimana kesan dadah. Keperluan mudah dikawal kerana melibatkan perkara-perkara asas untuk manusia hidup. Awal akal manusia berjuang memenuhi keperluan asasnya. Sukar dikawal ialah kehendak dalam diri, kehendak manusia sentiasa bertambah dan berubah-berubah. Akal penat kerana melayan kehendak. Kehendak sentiasa membina motivasi dalaman untuk akal berfikir bagaimana untuk memperolehnya. Manusia yang berjaya menundukkan kehendak akan hidup sekadar yang ada, menerima apa yang ada, hanya memberi apa yang ada, sentiasa menilai diri dan pentingnya tahu dan kenal untuk mengucapkan syukur. Soalnya adakah manusia boleh dipengaruhi melalui kehendak dan keperluan? Biasanya bila satu kehendak dipenuhi akan timbul kehendak-kehendak baru. Bolehkah kita sentiasa memenuhi kehendak orang walaupun terpaksa mengorbankan kehendak sendiri?

MAT ZAINI ABDULLAH

Monday, October 3, 2011

Tuah Dalam Kenangan

Hampir dua bulan blog langsung tidak disemak. Terlampau memikirkan masalah sekitar menyebabkan tiada masa untuk menjenguk blog. 

Tuah dalam kenangan kerana teringat peranannya yang besar dalam memberi imej positif kepada kesultanan Melayu Melaka. Jasanya amat besar, kerana tuah laksamana Melaka, Melaka pada waktu itu amat dikenali di nusantara malahan tidak terlampau jika dikatakan seantero dunia Melayu. Jasanya kepada sultan Melaka amat dikagumi sehinggakan sanggup menerima fitnah sebagai kebenaran walaupun mengetahui natijah daripada fitnah tersebut. Tuah menerima hukum bunuh yang dijatuhkan sultan Melaka kerana dikatakan melakukan perkara sumbang dengan dayang sultan. Nasibnya agak baik kerana mamak bendahara Tun Perak seorang yang bijak dalam percaturan politik dan mampu mencengkam situasi politik Melaka di samping keupayaan membaca jalan fikir sultan Melaka. Betullah apabila berlaku dua perkara yang berlawanan akan menghasilkan satu perkara baru. Perkara barunya ialah Jebat menderhakai sultan Melaka kerana membela kawan karib yang dihukum tanpa kebenaran yang sepatutnya. Menderhaka Jebat, menentang arus masyarakat yang setia dan taat kepada sultan. Hasilnya terpaksa mengorbankan jiwa dan keluarga kerana asalnya berjuang menegak kebenaran. Bahagiakah Tuah kerana menuruti perintah sultan untuk menghapuskan Jebat. Jiwa Tuah terluka sebenarnya kerana mempertahankan prinsip pantang Melayu menderhaka kepada raja sehingga mengorbankan rakan sepermainan karibnya. 

Persoalannya jika mamak Bendahara Tun Perak memberi pengkisahan sebenar kepada Jebat bahawa Tuah tidak dibunuh tapi hanya disembunyikan di hulu sungai Melaka, menderhakakah Jebat? Dalam ucapannya Jebat pernah mengatakan jika dia mengetahui Tuah masih hidup, dia tidak akan berprinsipkan raja adil raja disembah raja zalim raja disangah. Maknanya prinsip itu tersebut disebabkan seorang sahabat yang karib dinafikan hak untuk dibicarakan secara adil. Berkait sama sistem raja mutlak yang jurusnya akan mementingkan daya fikir raja itu bukan demokrasi berasaskan kira bicara dalam perbincangan. Tuah kau dalam kenangan tapi Jebat sentiasa diingat sebagai pencetus keinginan keadilan, kebenaran dan rakyat untuk rakyat.