Sunday, February 20, 2011

Buku Baru

Setelah selesai membaca buku "How to win friends & influence people" oleh Dale Carnegie, beberapa prinsip boleh digariskan bagi menjawab bagaimana memenangi hati kawan dan mempengaruhi orang ramai;
Prinsip 1 - Elakkan daripada mengkritik, mencerca atau mengeluh
Prinsip 2 - Berikan penghargaan yang jujur dan tulus
Prinsip 3 - Bangkitkan minat dalam diri orang lain
Prinsip 4 - Bersungguh-sungguh menarik minat pada orang lain
Prinsip 5 - Senyum
Prinsip 6 - Ingat, nama setiap individu adalah nada yang enak didengar dan penting dalam apa bahasa sekalipun
Prinsip 7 - Jadi pendengar yang baik. Dorong orang lain supaya bercerita tentang diri mereka
Prinsip 8 - Berbicara mengenai minat orang lain
Prinsip 9 - Buat orang lain berasa penting dan lakukannya dengan tulus
Prinsip 10 - Satu-satunya cara memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pendebatan adalah menghindarinya
Prinsip 11 - Tunjukkan penghargaan pada pendapat orang lain. Usah berkata, "kamu salah."
Prinsip 12 - Kalau kita salah, akui segera dengan tegas
Prinsip 13 - Mulakan dengan mesra
Prinsip 14 - Pengaruhi orang lain menyatakan "ya" dengan segera
Prinsip 15 - Biarkan orang lain yang lebih banyak berbicara
Prinsip 16 - Biarkan orang lain merasakan idea itu miliknya
Prinsip 17 - Cuba dengan sedaya upaya bagi melihat sesuatu dari sudut pandangan orang lain
Prinsip 18 - Bersimpati dengan idea dan hasrat orang lain
Prinsip 19 - Tumpukan perhatian kepada motif-motif yang lebih mulia
Prinsip 20 - Dramatisasikan idea-idea kita
Prinsip 21 - Lontarkan cabaran, bangkitkan minat dalam diri orang lain
Prinsip 22 - Mulakan dengan pujian dan penghargaan yang jujur
Prinsip 23 - Gunakan kiasan bagi menegur kesalahan orang lain
Prinsip 24 - Bicara dahulu mengenai kesalahan kita sendiri sebelum mengkritik orang lain
Prinsip 25 - Ajukan pertanyaan daripada mengeluarkan arahan
Prinsip 26 - Berikan peluang kepada orang lain bagi menyelamatkan air muka
Prinsip 27 - Puji segala pembaikan walau sekecil zarah dan puji setiap kemajuan. Jadi lebih terbuka dalam menerima penghargaan dan murah hati menghadiahkan pujian
Prinsip 28 - Berikan orang lain reputasi yang baik bagi dipenuhi olehnya
Prinsip 29 - Gunakan dorongan. Jadikan satu-satu kesalahan itu kelihatan mudah dibaiki
Prinsip 30 - Buat orang lain senang hati melakukan hal yang kamu cadangkan



Tuesday, February 15, 2011

Sejenak Berfikir

Bulan 8 2011, genap lima belas tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan. Dalam tempoh ini telah melalui dua zaman, zaman SSB dan era SSM. Kedua-duanya tidak pernah mendatangkan rasa puas hati warga pendidik. SSB dulunya dikatakan terlalu subjektif jika dibandingkan objektif. SSM akhirnya cenderung kepada kuota dan kekananan. Kesimpulannya, apa sahaja sistem yang diperkenalkan akan menimbulkan rasa kurang senang selagi sistem itu gagal melihatkan kebajikan dan penghargaan secara menyeluruh kepada warga guru. Persoalannya bagaimana sesuatu sistem mampu mengambarkan kebajikan dan penghargaan tersebut. Penggubal dasar akan melihat biasanya kepada soal kemampuan kewangan jika sesuatu sistem melibatkan soal-soal kewangan. Dalam sistem kita, penilaian yang lebih menonjol dirujuk kepada individu bukan organisasi. Pergerakan gaji melintang dan menegak (SSB) serta anjakan gaji dan anugerah perkhidmatan cemerlang (SSM) juga individu. Malahan, perjawatan guru cemerlang (SSM dan SSB) juga terarah kepada individu. Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Cluster merupakan satu cubaan mencemerlangkan organisasi. Keputusan UPSR, PMR dan SPM dijadikan salah satu simbol kecemerlangan organisasi. Lambang kerjasama dan kerja guru dalam soal akademik secara umum. Mungkin sudah sampai masanya sistem penilaian kendiri diperkenalkan dalam pendidikan. Guru menilai diri mereka dengan bahan sokongan kerja yang dilaksanakan. Rasanya ini lebih objektif berbanding pihak kedua yang menilai mereka secara langsung tanpa merujuk secara khusus terhadap gerak kerja yang dilakukan tapi hanya bersandarkan pandangan setiap pengurusan sekolah yang biasanya subjektif berasaskan hubungan interpersonal. Pengurusan dalam penilaian kendiri bertindak sebagai panel penilai berasaskan dokumen kerja yang disediakan. Sesuatu yang cemerlang perlu penilaian yang tekal sebagaimana kualiti produk yang dikategorikan sebagai "establish" dan mempunyai nama di pasaran. Soalnya apa yang perlu dinilai? Mungkin soal kerja (60%), hubungan profesional (10%) dan sumbangan profesional peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan (20%) dan sumbangan kemasyarakatan (10%). Semakin sukar suatu penilaian maka semakin mengecil peruntukkan kewangan yang diperlukan dan segalanya bergantung kepada setiap guru.

Sistem yang baik perlu kembali kepada fitrah manusia. Allah mengadakan pahala dan dosa. Manusia kemudiannya dibekalkan akal dan terbesar nur Islam. Kemudiannya diturunkan al-quran sebagai garis paduan menentukan perbuatan pahala dan dosa serta kaedah-kaedah taubat untuk menghilangkan dosa yang akhirnya dimuktamadkan oleh Allah. Dengan berbekalkan nur islam, al-quran, al sunnah dan akal manusia, pahala dan dosa beroperasi secara sistematik. Segala bekalan telah disediakan oleh Allah maka manusia tiada alasan apabila melakukan dosa. Suatu yang cukup indah dalam sistem kawalan manusia. Paling besar dan tidak mampu ditiru oleh manusia, ALLAH TIDAK BERHAJAT ATAU BERGANTUNG KEPADA MANUSIA.

Monday, February 14, 2011

Perangkap Kecelakaan Diri

Punca iblis dikeluarkan daripada syurga kerana merasakan dirinya lebih baik daripada Adam a.s. Gambaran sikap yang angkuh dan sombong dengan kelebihan ciptaannya berbanding dengan Adam a.s. Tapi yang menyuruh supaya sujud kepada Adam a.s. ialah Maha pencipta, diri iblis merupakan milik-Nya. Tapi iblis merasakan dia lebih baik berbanding Adam a.s.

Bagaimana ya, jika ada manusia yang merasakan dirinya terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Tiap-tiap hari membuat canang itu ini dibuatnya sehingga mendatangkan letih kepada dirinya. Selalunya orang yang letih akan lebih suka mendiamkan diri untuk menghilangkan letihnya. Kurang bercakap kerana memikirkan kesilapan cakapnya boleh memberi kesan kepada keadaan yang dihadapi.

Prinsip pertama dalam hubungan manusia ialah menerima seadanya. Bagi mengubah, paling cantik kita mulakan dengan diri kita kerana untuk mengubah jambangan bunga memerlukan orang yang mempunyai pengetahuan tentang hal-hal mengubah jambangan bunga. Gubahan bunga memerlukan kelembutan kerana sifat bunga itu sendiri lembut helaian kelopaknya. Kekasaran memungkinkan kelopak terungkai dari tangkainya. Hasilnya, kebencian dan dendam. Bagaimana pula dengan kaktus, adakah orang mengubah kaktus, bagaimana pula ciri orang yang mengubah kaktus? Bagaimana pula orang yang menebang balak? pokoknya sudah besar, perlukah menggunakan kelembutan? Kesimpulannya, bertindaklah dengan kaedah berdasarkan situasi kita.

Prinsip kedua mencari kekuatan bukannya mencari kesalahan. Diri manusia bila cuba dicari kesalahan diri, dia mula defensif dan akan mencari kesalahan orang yang mencari kesalahannya. Hasilnya tiada apa yang terhasil hanya krisis, konflik dan cakap-cakap belakang sahaja. Tenang dipermukaan tetapi bergolak di bahagian bawahnya. Bila tiba masanya pecah segala-gala. Hasilnya, porak peranda.

Prinsip ketiga, berterus terang. Pahlawan Melayu sejati jika menikam lawan dari belakang dikatakan bacul. Organisasi yang tahap profesionalismenya tinggi mempunyai keupayaan untuk berterus terang yang tinggi. Tahap keterbukaan yang tinggi, setiap isu diselesaikan secara berhadapan sama ada satu dengan satu atau dalam mesyuarat yang berkaitan. Setiap keputusan dibincang secara serius dan dimuktamadkan dalam mesyuarat itu. Pandangan luar mesyuarat tidak lagi diguna pakai selagi tidak melibatkan kerugian nyawa dan kewangan atau nilai keagamaan yang tergadai pada keputusan dalam mesyuarat tadi. Pengerusi memerlukan pegangan nilai dan pertimbangan yang jelas dalam membuat keputusan. Bukannya dicadang terus terima, bila datang cadangan lain, terima dan membatalkan keputusan sebelumnya.

Thursday, February 10, 2011

Ayah Juga Lupa

Dengar, anakku. Ayah hendak berpesan pada saat kamu terbaring tidur dengan sebelah tangan kecilmu terletak di bawah pipimu dan rambutmu yang kerinting terlekat pada dahimu yang lembap. Ayah menyelinap masuk ke dalam bilik tidurmu. Baru beberapa minit yang lalu, ketika ayah membaca surat khabar di perpustakaan, perasaan kesal yang mendalam datang menerpa. Dengan perasaan bersalah, ayah datang menghampiri katilmu.

Ada pelbagai perkara yang ayah fikirkan. Anakku selama ini ayah bersikap kasar padamu. Ayah membentakmu ketika kamu sedang berpakaian ke sekolah kerana kamu cuba menyeka mukamu sekilas dengan tuala. Ayah menghukum kamu kerana kamu tidak membasuh kasutmu. Ayah menjerit marah ketika kamu membaling barangmu ke lantai.

Semasa sarapan, ayah mencari kesalahanmu. Kamu menyemburkan makananmu. Kamu menelan makananmu tanpa mengunyah terlebih dahulu. Kamu meletakkan sikumu di atas meja. Kamu menyapu banyak mentega di atas rotimu dan apabila kamu keluar bermain dan ayah meninggalkan rumah ke kereta api, kamu berpaling dan melambaikan tangan sambil berteriak "selamat jalan ayah." Ayah mengerutkan dahi lalu menjawab, "tegakkan bahumu."

Kemudian, semua itu berulang lagi pada waktu petang. Ketika ayah menyusuri jalan, ayah menghendap kamu yang sedang membongkok dengan kedua-dua lututmu di atas tanah, bermain guli. Ada lubang pada stokingmu. Ayah memalukan kamu di hadapan kawan-kawanmu dengan memaksa kamu berjalan di hadapan ayah pulang ke rumah. Bayangkan itu, anakku. Itu yang keluar dari fikiran ayah.

Adakah kamu masih ingat ketika ayah sedang membaca di perpustakaan, bagaimana kamu datang dengan perasaan takut-takut dan sinar luka yang terpancar dalam matamu? Ketika ayah mengangkat muka sewaktu membaca surat khabar, terganggu dengan kehadiranmu, kamu teragak-teragak di depan pintu. "Kamu hendak apa?" jerkah ayah.

Kamu tidak berkata sepatah pun melainkan berlari dan melompat ke riba ayah. Kamu memeluk leher ayah dan mencium ayah. Tanganmu yang kecil memeluk dengan erat dan hangat. Kehangatan yang tuhan tetapkan begitu mekar di hatimu dan sebarang pengabaian pun tidak dapat melunturkannya. Kemudian, kamu pergi dan ayah terdengar derap tapak kaki kecilmu menaiki tangga.

Anakku, seketika selepas itu, surat khabar jatuh dari tangan ayah dan ketakutan menyelubungi ayah. Apakah tabiat yang ayah lakukan? Tabiat mencari kesalahan dan cercaan. Ini adalah hadiah ayah buat kamu sebagai anak lelaki ayah. Ini tidak bermakna ayah tidak menyayangimu. Ayah lakukan ini semua kerana harapan ayah yang tinggi sejak muda lagi. Ayah mengukur kamu dengan kayu pengukur yang terhasil daripada tahun-tahun yang ayah lalui sendiri.

Sebenarnya, banyak sifat yang baik dalam tingkah lakumu. Hati luhur milikmu sebesar fajar yang memayungi bukit-bukit yang luas terbentang. Semua itu kamu pamerkan dengan sikap spontanmu ketika kamu berlari masuk dan mencium ayah sambil mengucapkan selamat malam. Tidak ada lagi masalah malam ini, anakku. Ayah sudah datang ke katilmu dalam kegelapan malam dan ayah sudah berlutut di dalam bilikmu dengan perasaan malu.

Ini adalah penyesalan yang cetek. Ayah tahu kamu tidak mengerti hal-hal sebegini apabila ayah memberitahu kamu ketika kamu terjaga daripada tidur. Tetapi keesokan harinya ayah menjadi ayah sejati. Ayah berkawan rapat dengan kamu dan sama-sama menderita dengan kamu ketika kamu menderita, dan ketawa apabila kamu tertawa. Ayah mengigit lidah ayah apabila kata-kata yang boleh menyinggung perasaanmu cuba keluar daripada mulut ayah. Ayah terus menyebut kata-kata ini seolah-olah rutin, "Dia cuma anak kecil. Anak lelaki kecil."

Ayah risau kerana sudah membayangkan kamu membesar menjadi lelaki dewasa. Namun, saat ayah memandangmu sekarang anakku, yang sedang merengkok berbaring dan letih di atas katilmu, ayah lihat kamu masih bayi. Tidak lama dulu kamu masih dikendong oleh ibumu, kepalamu terlentuk di atas bahu ibumu. Banyak ayah harapkan. "Tidak terkira banyaknya."