Sunday, April 17, 2011

Berakhir Penderitaan 2 tahun

Tarikh 17 April 2011, merupakan antara hari yang keramat dalam hidup. Dengan limpah kurnia Allah swt, perbincangan akhir berkaitan projek master telah selesai dan dimuktamadkan dengan Dr. Yahya bin Don selaku penyelia. Proses binding hardcover dengan lima salinan merupakan tahap akhir penyudahan penulisan. Alhamdulilah, syukur dengan rahmat-Nya, setelah hampir dua tahun melalui pengalaman belajar sebagai siswazah tua akhirnya sampai juga ke penghujung. Sekarang mula menyimpan angan-angan untuk menyambung ke peringkat Phd insyaallah jika diizin-Nya.


Satu pengalaman yang indah di sini betapa betul kata orang-orang dahulu, "berat mata memandang berat lagi bahu memikul",  Mata melihat sebagai satu beban yang digalas tetapi kita yang mengalasnya merasai betapa berat beban berkenaan. Inilah konsep empati, iaitu belajar merasai dan melalui pengalaman belajar sewaktu kerja. Kepada isteri tercinta, Shahida Abdul Wahab, terima kasih tak terhingga kerana terlalu banyak memberi sokongan dan semangat untuk terus berjuang hingga ke penghujung pengajian. Buat anak-anak yang menjadi sumber inspirasi, terima kasih kerana memahami keadaan abah yang perlu memberi komitmen masa yang terlalu banyak untuk menyelesaikan pengajian. Semoga kejayaan ini menjadi sumber semangat buat anak-anak untuk terus menuntut ilmu hingga ke liang lahad.

Buat semua pensyarah, Dr. Yahya, Dr. Ishak, Dr. Mustafa, Dr.Latif, Dr. Yaakob, Dr. Arsay, Dr.Jelani, En. Hasnan, Tn.Hj. Kamaruzaman dan Tn. Hj. Ismail Mustafa, terima kasih kerana nilai keilmuan yang tinggi dicurahkan kepada kami anak-anak didik. Segala perkongsian pengalaman dan teori keilmuan akan digunakan dalam memartabatkan bidang pendidikan negara. Sesungguhnya, tindakan yang menyimpan daripada teori dan pengalaman selalunya akan menghasilkan sesuatu yang terpesong daripada kebiasaan dan mungkin boleh merosakan satu generasi. Pendidikan merupakan satu kaedah penyatuan cara berfikir dan roh daripada keilmuan berdasarkan satu pegangan kurikulum yang sama. Cubaan mewujudkan kurikulum berasingan akan melahirkan generasi yang berbeza daripada generasi sedia ada. Keilmuan yang tinggi dan kekukuhan pegangan agama itulah antara matlamat pengajian ilmu. Terima kasih UUM kerana memberi ruang untuk proses menimba ilmu daripada guru-guru yang hebat dan berkualiti.

MAT ZAINI ABDULLAH 

Wednesday, April 13, 2011

Kecelaruan Pembuatan Keputusan

Bagaimana jika seorang guru yang diamanahkan untuk mendidik murid dengan nilai-nilai murni agama dan kemasyarakatan melakukan perkara di luar hubungan antara seorang guru dengan anak didiknya? Hubungan ke arah pelakuan zina, bagaimana anda sebagai pengurus sekolah mengambil tindakan? Satu persoalan yang cukup besar dan kadang kala sukar untuk dibuat keputusan apabila berfikir secara 360 darjah.


Berfikir secara 360 darjah akan mengambil kira semua perkara, soal-soal jasa guru berkenaan, soal kebajikan jarak baru ke tempat kerja, soal kebajikan anak-anak, rumah tangga dan sebagai. Dalam soal ini lebih tepat berfikir secara 90 darjah, iaitu soal-soal nilai. Jika murid melawan guru sebagai perbuatan yang gagal diterima ramai, bagaimana pula si guru melakukan aksi ke arah pelakuan seks sehinggakan menjadi tontonan ramai murid-murid lain. Soal maruah guru berkenaan(tapi bagi saya dia tidak layak lagi dipanggil guru), soal maruah profesion keguruan. Jika perlakuan ini jelas, bukan soal jasa yang pernah ditabur perlu diberi perhatian tetapi soal-soal lain yang lebih besar. Soal nilai merupakan perkara besar yang perlu dipertimbangkan. Bagaimana si guru tersebut mampu diberikan amanah sedangkan asas amanah telah dikhianati, mendidik murid-murid dengan baik dan sempurna mengikut pandangan falsafah pendidikan kebangsaan. Bagaimana guru sebegini masih mampu berada di sekolah yang sama walhal pelakuannya telah diketahui umum secara diam. Paling tidak bermaruah dan hilang harga diri jika masih berada di sekolah berkenaan dalam keadaan diri yang penuh dengan kejian mata memandang. Lama kelamaan harga dirinya akan hilang terus daripada mata masyarakat sekolah. Jadi segerakanlah mengambil tindakan yang sepatutnya.