Monday, June 20, 2011

Antara kebenaran objektif, subjektif dan imaginasi

Fitrah manusia inginkan kebenaran. Secara matematik apabila satu ditambah satu dapatan dua. Kebenaran matematik dikatakan objektif sedangkan hakikatnya akal manusia yang waras menerima kebenaran tersebut. Tetapi dalam soal-soal kerahsiaan satu campur satu mungkin tidak diterima sebagai dua, kerana dua mungkin membawa konotasi berbeza dengan keinginan rahsia tadi. Hakikatnya kebenaran manusia hanyalah ciptaan akal yang asalnya subjektif cuma diyakinkan dan kemudian diterima sebagai sesuatu yang benar. Kemudian dibezakan antara konkrit dengan abstrak. Kelebihan matematik kerana terdapat ciptaan angka yang berbeza antara satu, dua dan tiga sehingga angka-angka yang oleh manusia apabila tiba kepada infiniti di situ berbalik kepada kebenaran subjektif. Kebenaran yang lahir secara perasaan biasanya akan berbalik kepada soal-soal subjektif kerana selalunya tiada pengukur yang diterima pakai. Jika suhu dirasai secara penderiaan hanya mampu mengatakan panas, sejuk, suam tetapi bila termometer digunakan maka angka kepanasan, kesejukan dapat dinyatakan. Objektif atau konkrit biasanya dapat dilihat, dipegang, dirasa atau secara nyata. Sementara subjektif hanya diri yang mengalami mampu merasakan. Oleh itu, diri manusia ada peka kebenaran objektif dan ada peka kebenaran subjektif.

Dalam profesion perguruan kedua-dua kebenaran ini diajar kepada guru-guru kemudian diperturunkan kepada murid-murid di sekolah. Pegangan kebenaran objektif cukup mudah melalui penderiaan nyata seperti mata dan telinga. Guru yang tidak selektif akan mudah terperangkap dengan kebenaran ini. Biasanya orang yang membawa kebenaran akan cuba membuktikan kebenaran walapun sebenarnya bukan kebenaran tetapi dengan sokongan bahan untuk menyakinkan kebenaran maka akhirnya diterima sebagai kebenaran dan lebih teruk diterima sebagai kebenaran objektif. Kebenaran objektif jika dihasilkan dalam bentuk penulisan seperti karya sastera biasanya akan menghasilkan kebenaran imaginasi yang telah diolah daripada kebenaran objektif tadi. Maknanya ada tokok tambah atau pemenggalan perkara sebenar bagi tujuan menambah kesedapan terhadap cerita yang dituturkan. Lebih teruk yang gagal mengambil tanggungjawab atas perbuatan akan cuba menghasilkan kebenaran objektif bagi menuntut kesilapan pada mata orang lain supaya dia dilihat baik dan benar.

Kebenaran objektif biasanya berubah apabila ditukar kepada bentuk penulisan atau pertuturan. Sifat manusia kadangkala pula takut kepada kebenaran yang dilakukan walaupun berkelakuan sumbang sebagai kebenaran objektif tetapi apabila diceritakan kebenaran objektif melakukan perkara sumbang tadi akan ada cubaan membina kebenaran imaginasi, iaitu kebenaran yang diingini oleh si pelaku tadi. Akhirnya, yang membawa kebenaran objektif dianggap sebagai orang yang jahat sementara dia yang membina kebenaran imaginasi pula mendapat simpati dan dianggap benar oleh orang ramai. Ada usaha untuk melarikan diri daripada mengambil tanggungjawab sebagai pelaku sumbang. Si penerima yang tidak selektif akan terperangkap dengan kebenaran ciptaan tadi. Akhirnya si penerima tadi yang paling tolol dan bodoh.
MAT ZAINI BIN ABDULLAH

Saturday, June 18, 2011

Rasa

Banyak rasa bila berada dalam soal perguruan. Ada rasa dirinya dianiaya, ada rasa dirinya sahaja yang hebat, ada rasa dia mengetahui segalanya, ada rasa pengetua hanya bergantung kepada dirinya, ada rasa kalau dia tiada di sekolah, sekolah akan gagal dikawal. Ada yang rasa dirinya lebih layak berbanding orang lain. Ada rasa guru itu pemalas, ada rasa guru itu tidak boleh dipercayai. Ada rasa guru ini bagus kerana menurut segala kehendak pihak pengurusan walaupun terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga di rumah atau masa untuk beribadat. Semuanya banyak kepada rasa.


Indikator untuk menilai secara profesional sememangnya diwujudkan tetapi orang yang diberi tanggungjawab untuk menilai sebenarnya banyak menggunakan rasa. Maka sistem pendidikan kita banyak berkembang atas dasar rasa orang yang mengepalai. Dulu kita rasa jika sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris maka ia dapat meningkatkan penguasaan bahasa inggeris. Tapi sekarang ini rasa itu telah ditarik balik atas rasa politik atau atas rasa semata-mata. Sekarang ini timbul pula rasa sekolah perlu dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) untuk mewujudkan daya saing langsung antara sekolah. Dan rasa ini mungkin akan terkubur sebagaimana rasa PPSMI. Rasa sekolah kluster telah mati. Mungkin kita terlalu gila mengikut rasa tetapi tidak istiqomah dengan rasa itu. Pendidikan dirasai sebagai elemen yang perlu berubah-ubah kerana pendidikan sentiasa berubah dan perlu berubah. Soalnya betulkah? Nilai yang dulu mungkin dianggap benar tetapi apabila manusia makin ke depan nilai itu langsung tidak dihiraukan. Dulu soal hormat kepada orang lain amat terkesan tetapi rasa hormat sekarang ini banyak bergantung kepada peribadi yang rasa boleh dihormati. Tidak hairanlah jika terdapat orang-orang besar dimaki hamun kerana peribadi yang dimiliki gagal untuk dihormati. Cara berfikir sekarang ini makin selektif bukan menerima secara dogma sahaja. Tetapi nilai sentiasa bergerak bersama masyarakat cuma kaedah memberi pengertian kepada nilai makin berubah bukan boleh diterima sahaja. Serapan budaya kapitalis yang mementingkan diri menyebabkan nilai mula diberi pengertian kepada kebaikan untuk diri, kadang kala gagal membezakan antara nilai baik dengan nilai tidak baik. Berjaya orientalis barat untuk mengaburkan minda manusia berkaitan nilai.

Dulu nilai seks bebas antara lelaki perempuan amat ditentang oleh generasi awal kerana kuat pegangan kepada agama. Sekarang ibu bapa sudah boleh menerima kedatangan lelaki ke rumah sebagai kawan kepada anak perempuan mereka. Malah terdapat yang melampau melakukan hubungan seks dalam rumah sewaktu ketiadaan ibu bapa. Si ibu bapa mengharapkan berlaku keterbukaan nilai secara terkawal tetapi si anak langsung tidak tahu macam mana untuk mengawalnya. Itulah rasa nilai yang berbeza antara muda tua. Yang muda tadi akan menjadi tua dan mungkin nilai tadi akan dibawanya jika dia gagal kembalikan dirinya kepada agama Allah.

Monday, June 13, 2011

Antara insentif dan kebijaksanaan


Hakikat keputusan apabila dibuat akan menyebabkan wujud dua perkara, satu yang menerima manfaat dan satu yang terasa dirinya teraniaya. Itulah seni keputusan. Hakikat kelemahan manusia ialah tidak mampu menyediakan keputusan yang boleh memberi kepuasan kepada semua pihak. Cuma yang diharap setiap keputusan tidak melambangkan usaha untuk menjaga dan memberi hanya kepada sekelompok golongan sahaja.

Bermula dengan pengumuman pada 16 Mei 2011 berkaitan beberapa perubahan struktur DG kepada pengurusan sekolah dengan Penolong Kanan diberikan DG48. Walaupun struktur ini akan hanya berubah bermula Januari 2012. Pengkaedahan yang jelas belum dimuktamadkan, cuma jika berlaku secara automatik, ia dianggap sebagai limpahan insentif. Soalnya bagaimana Pejabat Pelajaran Daerah menggunakan kebijaksanaan dalam menangani isu ini? Jika dulu sebelum pengumuman, soal jawatan Penolong Kanan kadang kala akan dilantik sesiapa sahaja difikir sealiran dengan PPD untuk menanggung beban tugas. Tetapi bila bertaraf DG48 ia mula balik kepada soal senioriti sebagaimana pengkaedahan dalam pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) walaupun awalnya dikatakan berasaskan kompentensi semasa guru. Jelas kebijaksanaan menjaga kepentingan kelompok digunakan dalam soal ini. Guru-guru senior yang dulunya pernah menolak beban tanggungjawab sebagai Penolong Kanan mula menunjukkan minat kerana DG 48 tadi. Akhirnya akan membina kebijaksanaan dalam proses celup mencelup untuk mendapat DG 48. Jadi perlu ada pengkaedahan dalam soal ini bukan diberi secara automatik. Jika kaedah celup mencelup berlaku akhirnya yang awal dicelup mendapat faedah sementara yang akan dicelup mungkin tidak sempat kerana Kementerian Pelajaran mula menyedari kebijaksanaan ini. Akhirnya, diberi pekeliling maka yang bakal dicelup tidak sempat dicelup akhirnya yang senior sentiasa memperolehi manfaat. Sudahnya, insentif asalnya baik tetapi menjadi sebagaimana SSB dan SSM disebabkan kebijaksanaan PPD mengambil peluang.

Trend guru sekarang ini terpecah kepada dua aliran, satunya mementing kompentensi dan satu hanya mementingkan senioriti. Jika senior yang mempunyai kompentesi maka wajarlah diberi penghargaan tetapi jika hanya senior namun kewibawaan dan kompetensi langsung tiada, eloklah hanya diberi sebagai pengikut. Yang muda dan berkompetensi wajar diberi peluang yang sama dengan yang tua tadi, cuma definisi muda perlu diberi jarak umurnya mungkin antara 35 hingga 45. Supaya setiap insentif yang ada boleh dikongsi.



 

Sunday, June 12, 2011

Kecelaruan

Yang celaru biasanya tiada pegangan antara yang benar dengan yang batil. Yang celaru juga biasanya antara kesamaran maklumat dengan ketepatan maklumat. Celaru juga berlaku apabila tiada konsisten dalam penetapan sesuatu. Punca celaru di mana ya? Akhirnya kita kembali kepada diri kita manusia. Punca celarunya datang daripada kita manusia. Hakikat manusia sememangnya telah celaru disebabkan panduan asal yang harus diikuti ditinggalkan. Perkembangan ilmu menyebabkan berlaku pelbagai serapan budaya yang kadang kala tanpa tapisan yang berupaya bertindak sebagai penapis. Air teh yang dibentuk daripada halusan daun teh yang diproses ditapis dengan menggunakan penapis, akhirnya menghasilkan air teh tanpa halusan serbuknya, diminum dengan mudah dan puas hati oleh pembancuh air teh tadi. Kalau tidak ditapis juga ditunggu supaya halusan serbuk teh mendap pada bahagian bawah yang akhirnya menjadikan air tehnya seolah-olah tanpa serbuk teh, cantik di atas tetapi berserbuk di bawah. Yang satu diasing terus antara air dengan serbuk teh sementara yang satu lagi bercampur terus cuma masa yang menyebabkan air teh tadi menjadi senang untuk diminum.

Dalam minda manusia bercampur antara maklumat benar dan tidak benar. Yang tidak benar kadang kala menjadi benar sementara yang benar kelihatan seolah-olah gagal kebenarannya. Kehebatan manusia berhujah boleh menjadikan yang batil itu satu kebenaran, sementara kegagalan menyakinkan hujah menjadi kebenaran sebagai satu yang tidak benar. Itulah hebatnya minda manusia dalam manipulasi maklumat mindanya. Sekarang ini rajin membaca suatu yang terpuji tetapi keupayaan memberi tapisan untuk setiap maklumat yang dibaca atau diterima lebih terpuji. Soalnya berapa ramai yang membaca dan memberi fikiran kepada perkara yang dibacanya. Selalunya, itu yang dibaca itulah yang diterima sebagai maklumat yang benar terutamanya bila maklumat itu datang daripada orang yang kita sukai dan percaya. Selalunya maklumat diterima ada diambil sebahagiannya yang memenuhi persetujuan akal selapis untuk disedapkan dengan senario semasa. Ada juga yang cuba menguji daya minda penerima maklumat dengan sengaja memberi maklumat yang tidak benar. Bila tiba soal jawab akhir, timbul pula soal minda yang dikurniakan oleh Allah mengapa tidak digunakan untuk ditapis maklumat yang diberikan. Mengapa terus terima. CUKUP CELARU SEKARANG BAK KATA SAIDINA ALI KEBATILAN YANG DIRANCANG BOLEH MENGALAHKAN KEBENARAN YANG TIDAK DIRANCANG. Kebenaran selalunya terjadi secara bersahaja daripada orang yang jujur sedangkan kebatilan biasanya wujud apabila dirancang daripada manusia yang ada kepentingan terhadap sesuatu. Untuk menentukan kebenaran atau kebatilan sesuatu maklumat kita hanyalah perlu kembali kepada diri manusia yang membawa maklumat tersebut, keperibadiannya, amalan hidupnya dan tingkah lakunya. Tingkah laku lebih benar berbanding percakapan. Adakah sama seorang yang berpegang kepada agama secara jujur dengan seorang yang berpegang kepada agama atas kepentingan sesuatu. Jika betul berpegang kepada agama adakah percakapan, tingkah laku, tindakan dan cara hidupnya menjurus kepada tuntutan agama.

MAT ZAINI ABDULLAH
-membangunkan negara berkebajikan-semoga Allah kabulkan